Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah
PERSONALITIRENCANA

Tingkat ekonomi, kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM – Membaiki kediaman uzur golongan berpendapatan rendah (B40) antara tumpuan utama Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat.

Justeru, berpuluh-puluh rumah di 10 kampung tradisi dibaiki sejak 2018, jumlah itu bertambah sesuai keperluan semasa.

Giat Baiki Rumah

Menjadi wakil rakyat sejak Mei 2018, Borhan Aman Shah memperuntuk antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi membaiki setiap rumah dengan kerjasama GiatMara.

“Ia bukan membabitkan kerja pembaikan besar, hanya kecil-kecilan sahaja seperti bumbung bocor dan tandas tidak sempurna, tetapi paling penting ia memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Perkasa produk kampung

Borhan turut memberi perhatian untuk memperkasa produk tempatan bagi membangunkan ekonomi penduduk.

Antara yang diketengahkan adalah kopi jenama 3K (Kopi Kampung Kundang) yang turut menjadi pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, malah ia juga sering dihidang di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar.

“Potensinya cukup besar untuk menembusi pasaran, pengeluarannya mungkin perlu ditingkatkan sekiranya permintaan meningkat menerusi promosi yang kita buat,” kata Borhan.

Produk industri kecil dan sederhana (IKS) lain di DUN Tanjung Sepat adalah kerepek dan tanaman nanas juga diberi perhatian. Apatah lagi gerai makanan pula sering menjadi pilihan penunggang basikal dan konvoi motosikal berkuasa tinggi.

“Setiap minggu, banyak kumpulan berbasikal melalui Jalan Morib ke Bagan Lalang untuk singgah ke kedai makan yang tular. Contohnya Warung Comel (di Kampung Batu Laut) dan Kafe Cikgu yang menyediakan hidangan enak.

“Sebab itu, saya sering bangkitkan jalan persekutuan perlu dinaik taraf sebagai langkah keselamatan selain menarik lebih ramai pengunjung,” kata wakil rakyat berusia 58 tahun.

Beliau turut membantu 20 sekolah de-ngan menghulurkan 1,000 pelitup muka, 20 botol cecair pembasmi kuman, satu unit penyukat suhu dan lima botol cecair pembasmi kuman bagi memutuskan jangkitan Covid-19.

“Hampir RM20,000 dibelanjakan untuk itu manakala proses nyahkuman di masjid dilakukan Team Selangor, maksudnya kita juga jaga kebajikan dalam aspek pendidikan dan agama,” katanya.

Turap jalan

Sejak 2018, sebanyak 12 projek disiapkan iaitu dua pembinaan medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat di Batu Laut dan Tanjung Sepat Indah serta kerja baik pulih enam balai Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Turut disiapkan, empat kerja menurap jalan sekolah di Kampung Batu Laut, Kampung Sungai Kelambu, Kampung Kundang dan Kampung Ladang Batu.

Borhan juga membawa perusahaan ternakan ayam daging komersial menerusi pembuatan reban moden tertutup.

Seramai 10,560 penduduk di DUN Tanjung Sepat pula menikmati bantuan inisiatif Kerajaan Selangor seperti berikut:

– Skim Mesra Usia Emas (SMUE): 3,260 orang

– Tabung Warisan Anak Selangor: 2,596 orang

– Jom Shopping Perayaan: 1,400 orang

– Peduli Sihat: 1,962 orang

– Insentif Generasi Muda Selangor (iGems): 542 orang

– Skim MammoSel: 500 orang

– Kasih Ibu Smart Selangor (KISS): 288 orang

– Bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS): 12 orang


Pengarang :