EXCOSELANGOR

TNB, Air Selangor diarah potong bekalan kilang pencemar air

KLANG, 8 SEPT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sudah diarahkan memotong bekalan elektrik dan air di kilang disyaki menjadi punca pencemaran yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas Khamis lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan berkata arahan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mengelakkan kilang berkenaan dari kembali beroperasi.

“Untuk makluman, kilang tersebut tidak pernah mendapat lesen perniagaan kerana tidak mempunyai pelan kelulusan merancang (KM), sekiranya tiada KM, kita tidak boleh beri lesen.

“Oleh itu tindakan tegas akan diambil, kita akan potong bekalan elektrik dan air supaya mereka tidak lagi beroperasi,” kata Ng Sze Han kepada media berhubung isu kilang penyelenggaraan jentera dikesan mencemarkan air di Sungai Gong, Rawang dekat sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan lesen perniagaan sementara kepada penjaja di Tapak Penjaja Hadapan Econmart, Sungai Bertek dan Tapak Penjaja Simbang Empat, Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, MPS memaklumkan kilang itu dikesan beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sejak 2014 serta tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen.

Pihak berkuasa tempatan itu menampal notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membina bangunan tanpa kebenaran dan sekiranya pemilik gagal memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari, MPS akan merobohkan struktur bangunan didirikan.


Pengarang :