Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tourism Selangor giat promosi pelancongan, tingkat hasil negeri

RAWANG, 14 SEPT: Tourism Selangor menjangkakan kutipan cukai pelancongan pada tahun ini sedikit menurun susulan penularan Covid-19 berbanding RM21.8 juta pada tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya akan mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan yang ketika ini dalam proses pemulihan bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri.

“Kita mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan berdasarkan pencapaian negeri menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Sejak kebelakangan ini minat masyarakat kepada pelancongan berkaitan semakin meningkat, jadi kita anjur pelbagai acara atau kejohanan peringkat domestik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Golf Tourism Selangor 2020 kali kedua di Templer Park Country Club semalam.

Beliau berkata sebanyak 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan menjadi milik Kerajaan Negeri manakala baki diberi kepada Kerajaan Pusat.

Kerajaan mengecualikan cukai pelancongan bermula 1 Julai lalu hingga 30 Jun tahun depan sebagai langkah mengaktifkan semula industri itu di negara ini.

Agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan pula diberi penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai sehingga hujung tahun ini manakala khidmat penginapan mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.


Pengarang :