Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat. Foto Facebook
AGENSISELANGOR

Tourism Selangor promosi lima muzium sempena Hari Malaysia

SHAH ALAM, 10 SEPT: Tourism Selangor mempromosi lima muzium bersejarah yang boleh dilawati sebagai memperingati jasa pejuang tanah air sempena Hari Malaysia tahun ini.

Pengurus Besarnya, Azrul Shah Mohamad berkata tempat terbabit ialah Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat; Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang; Muzium Kuala Selangor, Kuala Selangor; Pusat Warisan Kajang, Kajang dan Muzium Sultan Alam Shah, Petaling.

“Muzium Insitu Jugra merupakan bangunan runtuhan lama dan menjadi balai polis daerah pada 1878 yang dibina oleh pegawai British Kapten Harry Charles Syers sebelum dijadikan pusat pemerintahan serta pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor.

“Tempat ini mempunyai tiga ruang pameran berisi paparan sejarah serta boleh dikunjungi bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu hingga Khamis) dan 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Jumaat). Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini tetapi fotografi tidak dibenarkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang yang dibina sebagai memperingati Almarhum Sultan Selangor Salahuddin Abdul Aziz Shah dibuka pada Selasa hingga Ahad mulai 10 pagi hingga 5 petang manakala Isnin dan cuti umum ditutup. Masuk adalah percuma.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto Facebook

Selain itu, katanya, pengunjung yang melawat Muzium Kuala Selangor berpeluang melihat peninggalan sejarah seperti batu nisan, senjata, tombak dan meriam yang digunakan semasa zaman peperangan awal Kesultanan Selangor.

“Muzium ini terletak berhampiran Altingsburd Lighthouse dan pengunjung boleh lawati selepas ke Muzium Kuala Selangor. Muzium ini dibuka setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang.”

Muzium Kuala Selangor. Foto Facebook

Beliau berkata Pusat Warisan Kajang menawarkan pelbagai koleksi berkaitan Bandar Kajang dan Hulu Langat yang boleh dikunjungi pada hari minggu bermula 10 pagi hingga 5 petang.

“Penubuhan bandar Kajang adalah hasil daripada perlombongan bijih timah dan penanaman getah pada 1850 dan Hulu Langat merupakan tempat pertama perlombongan bijih timah yang berada di Rekoh,” katanya.

Azrul menambah Muzium Sultan Alam Shah yang menjadi lambang utama warisan budaya dan pembangunan memaparkan artifak prasejarah penempatan manusia awal dan serpihan gendang dari zaman Gangsa (Dong Son).

“Muzium ini boleh dilawati secara percuma dan dibuka pada Selasa hingga Ahad sahaja bermula pada 9.30 pagi hingga 5.30 petang.”


Pengarang :