Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) Norazam Khamis
AGENDANASIONAL

Tragedi kepala air: Seorang kanak-kanak lemas, tiga selamat

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lemas selepas dihanyutkan arus deras dan tiga lagi mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian fenomena kepala air di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu dekat sini, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mayat Abdul Wafi Wuuzir ditemukan di celahan batu berdekatan kawasan tempat kejadian pada 5.44 petang.

Kanak-kanak malang itu antara 16 orang daripada tiga kumpulan yang sedang beriadah di sungai itu sebelum mangsa dan tiga lagi individu dihanyutkan oleh gelombang aliran mengejut akibat hujan di hulu sungai.

“Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu menerima panggilan pada 3 petang dan terus mengerahkan anggota ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa,” katanya kepada Bernama.

Menurut Norazam, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dan dua lelaki yang berpaut dan duduk di atas batu berjaya diselamatkan oleh anggotanya.


Pengarang :