Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tujuh lelaki ditahan bergaduh libatkan senjata

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Tujuh lelaki tempatan yang disyaki terlibat pergaduhan melibatkan senjata di Jalan PJS 10/11, Petaling Jaya pada Ahad, ditahan polis.

Kesemua suspek berumur lingkungan antara 36 hingga 46 tahun ditahan pada hari sama, dan cuba melarikan diri sejurus ketibaan pihak berkuasa kira-kira 5.40 petang di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima makluman orang awam berikutan kejadian pergaduhan bersenjatakan kayu.

Setibanya di lokasi beliau berkata, kesemua suspek terkejut dengan kehadiran polis dan cuba melarikan diri, namun tiga daripada mereka ditahan.

“Polis kemudiannya mengadakan satu lagi tangkapan di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Petaling Jaya pada kira-kira 11.30 malam dan empat individu lagi ditahan disyaki terlibat dengan pergaduhan berkenaan.

“Menerusi siasatan awal ke atas suspek, turut membawa kepada penemuan senjata yang digunakan dalam insiden pergaduhan berkenaan. Senjata tersebut didapati telah dibuang di kawasan longgokan sampah di sebuah kuil di Petaling Jaya,” katanya kepada Bernama semalam.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas sebatang kayu, kayu golf dan satu botol kaca dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu, serta baju t-shirt dengan kesan tompokan darah.

Beliau berkata, menerusi semakan rekod jenayah turut mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod membabitkan jenayah, serta penyalahgunaan dadah.

Nik Ezanee turut memaklumkan suspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, kerana merusuh dan pihak polis juga sedang mengesan suspek lain yang berkemungkinan terlibat insiden sama.

– BERNAMA


Pengarang :