AGENDANASIONAL

UOB Kepong ditutup hingga 5 Okt, kakitangan positif Covid-19

SHAH ALAM, 22 SEPT: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) cawangan Kepong, Kuala Lumpur ditutup sehingga 5 Oktober susulan seorang pekerjanya dikesan positif Covid-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan bank tersebut, perkhidmatan perbankan layan diri turut ditutup bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dilakukan dan hanya dibuka sekiranya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Kakitangan tersebut yang merupakan seorang pakar gadai janji di cawangan ini mengunjungi Lahad Datu dan Semporna, Sabah antara 10 hingga 13 September 2020. Kami menyediakan bantuan kepada rakan sekerja kami dan keluarganya sepanjang beliau melalui proses pemulihan.

“UOB Malaysia juga memulakan usaha menghubungi kontak rapat melibatkan kakitangan dan pelanggan serta meminta mereka menjalani kuarantin diri selama 14 hari,” katanya.

Jelas bank tersebut, pihaknya menunggu arahan daripada pihak berkuasa kesihatan serta sedang bekerjasama berhubung langkah susulan yang mungkin perlu diambil.

“UOB Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan dan kakitangannya bahawa pihak bank melaksanakan langkah berjaga-jaga disyorkan kerajaan di premis kami bagi memastikan keselamatan orang ramai.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan perkhidmatan perbankan digital kami termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Peribadi Plus UOB dan aplikasi mudah alih UOB Mighty,” katanya.

Pelanggan yang mahu menjalankan urusan perbankan di cawangan diminta menggunakan perkhidmatan di UOB Damansara Uptown dan Kota Damansara.

“Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan pemahaman anda dalam membantu kami melindungi kesejahteraan orang ramai,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan UOB Malaysia boleh layari laman web Bank di https://www.uob.com.my .


Pengarang :