Ketua Whip KEADILAN Datuk Johari Abdul
AGENDANASIONAL

Usaha Anwar untuk pacu ekonomi, kecilkan jurang kaya, miskin

SHAH ALAM, 27 SEPT: Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyokong penuh usaha untuk mengembalikan mandat rakyat yang diberikan pada 9 Mei 2018, kata ketua whipnya.

Datuk Johari Abdul berkata langkah Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di peringkat persekutuan bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya.

“Kami mengambil maklum dengan kenyataan bahawa ramai ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional beralih sokongan kepada Anwar, maka jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang majoriti sebagai perdana menteri.

“Sebarang sokongan daripada mana-mana ahli parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19 yang memerlukan sebuah kerajaan stabil, dinamik dan kuat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata komitmen bakal kerajaan baharu terhadap keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memelihara integriti tidak akan dikompromi sama sekali.

“Kerajaan mesti fokus memantapkan tata kelola dan melaksanakan reformasi institusi, termasuk badan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata ahli parlimen KEADILAN berdoa agar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberikan kesembuhan yang segera dan dikurniakan kesihatan yang baik.


Pengarang :