Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (kanan) meninjau lokasi bengkel disyaki punca tumpahan minyak hitam ke kawasan perparitan berdekatan Jalan Dini, Meru pada 19 September 2020. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
ADNBERITA UTAMARENCANASELANGORWAWANCARA

Wakil rakyat Meru cadang bina projek tebatan banjir RM200 juta

SHAH ALAM, 28 SEPT: Ahli Dewan Negeri Meru merangka perancangan jangka pendek dan panjang bagi menangani banjir kilat di Meru yang berlaku akibat pembangunan tidak terancang.

Bentuk muka bumi rendah selain menjadi laluan air hujan dari Shah Alam sebelum ke laut, risiko banjir kilat sememangnya tinggi, apatah lagi saliran sedia ada tidak sempurna atau tersumbat ekoran pembinaan infrastruktur haram.

Menyedari keadaan itu, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bekerjasama dengan pihak berkuasa sejak dua tahun lalu.

Beliau menyedari walau banjir melanda untuk tempoh pendek tetapi kerugian termasuk kerosakan harta benda bukan sedikit. Begitu juga trauma dan kepenatan membersihkan semula kediaman.

Justeru, Mohd Fakhrulrazi, 42, berganding bahu dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Klang bagi mengerakkan pelbagai perancangan.

Bagi jangka pendek, mereka memperkemaskan sistem perparitan khususnya titik panas seperti Taman Daya, Jalan Teratai dan Jalan Cempaka supaya air dialir lancar.

“Kita juga merobohkan binaan haram yang dikesan menyebabkan saliran utama tersumbat, ia menunjukkan hasil positif” katanya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Walaupun banjir sejak 12 tahun lalu kian berkurangan, Mohd Fakhrulrazi tidak mudah berpuas hati. Bersama pihak berkuasa, beliau merancang pelan jangka panjang.

Satu kertas cadangan untuk projek tebatan bernilai RM200 juta termasuk pembinaan kolam takungan banjir dipanjangkan kepada kerajaan persekutuan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Kita berharap diluluskan demi keselesaan penduduk, projek itu penting di Meru yang menyaksikan pembangunan pesat baik projek pembinaan kediaman mahu pun premis industri dan komersial,” katanya.

Turut mendapat perhatian adalah membaik pulih jalan raya termasuk laluan menghubungkan Klang Sentral-Pekan Meru-Pekan Kapar yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan berikutan pertambahan pengguna.

“Kita sudah siapkan kertas cadangan untuk menaik taraf jalan persekutuan yang membabitkan kos RM500 juta. Kalau diluluskan perjalanan menjadi lebih selesa dan mampu memberi manfaat terutama dari segi pembangunan ekonomi.

“Bagi jalan negeri, kita terus baik pulih menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” kata Mohd Fakhrulrazi.

Isu lain yang turut menjadi perhatian adalah pembuangan sampah haram dan kebanjiran warga asing. Selain itu, beliau menggerakkan usaha menangani dampak penularan Covid-19 dengan mengagihkan sumbangan kepada penduduk termasuk mereka yang hilang kerja.

“Kita sedia latihan perniagaan dalam talian dan kemahiran. Antaranya program membaiki kereta untuk wanita yang mendapat sambutan mengalakkan. Saya lihat peserta datang berbeza membuktikan ramai mendapat manfaat bukannya kumpulan tertentu sahaja,” kata wakil rakyat yang berkhidmat bagi penggal pertama.


Pengarang :