Mohd Sany Hamzan (baju biru, kiri) meninjau dan membantu proses pengambilan air oleh penduduk yang terjejas melalui pili awam di Taman Selayang Mutiara pada 5 September 2020. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan
ADNSELANGOR

Wakil rakyat pesan jangan panik, guna air ikut keperluan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Masyarakat dinasihat tidak menyimpan bekalan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan ke kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata pengguna yang sudah menerima bekalan perlu menggunakannya mengikut keperluan dan tidak panik.

“Dalam keadaan begini memang ramai memerlukan air, jadi kita minta masyarakat supaya jangan panik memandangkan bekalan akan pulih seperti sedia kala dalam tempoh terdekat.

“Tampung (air) untuk keperluan seperti memasak, mandi dan mencuci pakaian sebab sekiranya (tampung) terlalu banyak akan memberi kesan kepada orang lain mendapatkan bekalan,” katanya ketika dihubungi.

Penduduk beratur menunggu giliran mendapatkan bekalan air di Taman Selayang Mutiara pada 5 September 2020. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan

Mohd Sany berkata sebanyak tiga lori tangki digerakkan secara bergilir-gilir ke kawasan terjejas sekitar Taman Templer sejak semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada Pengurusan Air Selangor yang membekalkan air mentah dan air mineral selain membina paip bagi kegunaan penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata sebanyak tiga lori tangki air beroperasi di sekitar kawasannya hari ini berbanding hanya satu semalam.

Beliau berkata bantuan bekalan air juga boleh didapati di pusat khidmat setempat (PKS) Kota Damansara dan PJS 1.

“Masih ada banyak kawasan kita kena beri bantuan (air), jadi mereka boleh ke PKS tersebut dengan membawa bekas masing-masing. Kita masih cuba dapatkan bantuan lori tangki untuk disalurkan ke kawasan yang ramai warga emas,” katanya.


Pengarang :