Najwan Halimi (baju putih) meninjau operasi Pusat Khidmat Setempat Air Selangor di Seksyen 4, Shah Alam yang membekalkan air kepada penduduk terjejas sejak 5 September 2020. Foto Twitter Najwan Halimi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat sokong pinda akta air, beri hukuman berat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik bersetuju Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling dipinda bagi memberi hukuman lebih berat kepada pesalahnya.

Najwan Halimi berkata demikian berhubung cadangan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin melalui Twitternya malam tadi.

“Syor sama telah dikemukakan tatkala saya bahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor berhuhung Pencemaran Sumber Air Sehingga Menyebabkan Henti Tugas Tidak Berjadual Loji-Loji Rawatan Air Dan Pembekalan Semasa Kecemasan, Julai lalu,” katanya melalui medium sama.

Semalam, Najwan yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air bagi Dewan Negeri Selangor meminta undang-undang pencemaran air diperketatkan bagi menghalang pencemaran berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berpendapat Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 harus dipinda segera supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah pencemaran air serta membolehkan hukuman penjara dan jumlah denda dipertingkatkan berikutan peruntukan sedia ada kurang tegas sehingga banyak pihak berani melanggar undang-undang.

Khairy dalam cadangannya berkata, “Wajar kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air & Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air. Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara. Akan dibawa ke Jemaah Menteri”.


Pengarang :