Pelbagai hasil produk yang dijual di butik Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wanita digalak sertai Hasil Suri, jana pendapatan dari rumah

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pembimbing Hasil Suri Selangor berharap lebih ramai wanita menyertai program tersebut bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

Norlena Nayan yang memiliki kemahiran mengait atau ‘crochet’ berkata seramai 10 ibu tunggal berada di bawah bimbingannya mempelajari teknik mengait lembaran benang yang dijadikan sumber pendapatan.

“Prinsip saya bukan sekadar jana pendapatan semata-mata, saya suka berkongsi pengalaman dengan orang lain bagaimana mahu memulakan perniagaan.

Norlena Nayan

“Hasil latihan, mereka mahir menghasilkan perhiasan rumah, gambar, topi dan pelbagai lagi mengikut kreativiti, jadi saya harap lebih ramai suri rumah diberi peluang menyertai program ini,” katanya yang menyertai jualan jenama Tanjung Suri bermula 4 hingga 16 September di Isetan KLCC.

Katt Ahmad yang mengusahakan produk kraftangan berasaskan kaolin (tanah liat putih) pula berpendapat kompleks beli-belah perlu memberi ruang dan peluang untuk memasarkan produk Hasil Suri.

“Jenama Tanjung Suri perlu dikomersialkan, sebab itu penting untuk memasarkannya di kompleks beli-belah utama. Permintaan produk tinggi membolehkan lebih ramai suri rumah menyertainya,” katanya.

Zaifuddin Samsudin

Pengusaha batik shibori Zaifuddin Samsudin berharap program tersebut diteruskan yang bukan sahaja membantu menjana pendapatan suri rumah tetapi melahirkan usahawan baharu.

“Ketika ini ada 10 peserta di bawah saya dan kita dapat lihat projek perintis ini mencapai matlamat, jadi saya berharap program tidak terhenti setakat ini sahaja,” katanya.

Semalam, EXCO Pemberdayaan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata seramai 100 suri rumah yang menyertai program perintis kemahiran dan menghasilkan produk jenama Tanjung Suri memperoleh pendapatan purata RM1,000 sebulan.

Beliau berkata peserta diberi tunjuk ajar menghasilkan produk kraf tangan oleh pembimbing berpengalaman sebelum diberi upah bekerja dari rumah.


Pengarang :