Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail bergambar bersama pempamer di Pavilion Selangor ketika Pameran Perdagangan Antarabangsa (WHOLE 2020) di Pusat Arena SPICE, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

WHOLE PENANG 2020 peluang usahawan Selangor promosi produk

BAYAN LEPAS, 11 SEPT: Seramai 20 usahawan baharu mikro Selangor menyertai pameran dan persidangan dunia, hospitaliti, gaya hidup serta hiburan (WHOLE PENANG 2020) di Pusat Arena Spice Pulau Pinang bermula semalam sehingga 12 September.

EXCO Usahawan Rodziah Ismail berkata pameran julung kali dalam negara itu turut membawa tujuh pempamer membabitkan lima usahawan termasuk dua agensi Kerajaan Negeri iaitu syarikat Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Tourism Selangor.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail melawat ke gerai pameran Pavilion Selangor ketika Pameran Perdagangan Antarabangsa (WHOLE 2020) di Pusat Arena SPICE, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pameran ini memberi pendedahan kepada usahawan baharu untuk melihat sendiri potensi perniagaan di luar negeri selain menyuntik motivasi supaya dapat pergi jauh dalam bidang tersebut.

“Selain itu, kita mahu mereka membina jaringan yang baik dengan (usahawan) negeri lain dan akhirnya boleh memasarkan produk mereka,” katanya selepas Majlis Perasmian WHOLE PENANG 2020 di sini semalam.

Pada masa sama, Rodziah bangga kerana mampu membawa usahawan ke pameran berprestij itu meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Katanya peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh usahawan terbabit untuk memahami pasaran luar khususnya melalui platform digital.

“Disebabkan itu, kita menampilkan Seldec kepada usahawan supaya mereka dapat mempelajari kaedah jualan produk secara dalam talian menggunakan medium khas diwujudkan Kerajaan Negeri ini.

“Kebiasaannya, orang sering dengar Shopee dan Lazada tetapi kita (Selangor) sudah ada platform tersendiri untuk memasarkan produk segar negeri ini dari luar bandar ke bandar. Saya percaya, dengan kehadiran (Seldec) perniagaan (usahawan) boleh berkembang ke luar Selangor,” katanya.

Pameran dan persidangan perdagangan hibrid pertama di Malaysia bagi sektor hospitaliti serta pelancongan yang dihoskan Kerajaan Pulau Pinang menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (Petach) disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Dianjurkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP), sejumlah 106 syarikat mengambil bahagian dan pempamer mempunyai akses pameran secara maya dalam mempamerkan keperluan industri pelancongan dengan menumpukan program perniagaan kepada perniagaan (B2B).


Pengarang :