Foto: Facebook Dr Siti Mariah Mahmud
AGENSISELANGOR

Yawas lulus 316 permohonan Skim Kesihatan Wanita

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 316 daripada 937 permohonan Skim Kesihatan Wanita diluluskan sehingga kini sejak ia dibuka pada 13 Julai lalu.

Pengurus besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata skim yang menawarkan pemeriksaan mamogram secara percuma masih dibuka sehingga hujung tahun ini.

“Justeru, saya amat menggalakkan golongan wanita untuk memanfaatkan skim ini memandangkan kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita.

“Menerusi skim ini, kos pemeriksaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri kepada wanita yang memenuhi syarat. Oleh itu segeralah memohon sekiranya anda layak,” kata Gan Pei Nei kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan terdapat tambahan perkhidmatan di mana seseorang yang mendapati ada ketulan semasa ujian ultrabunyi, individu itu layak menjalani biopsi dengan nasihat doktor panel hospital.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web skw.yawas.my atau pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi yayasan di talian 03-5481 8800.

Skim Kesihatan Wanita Selangor diwujudkan pada Belanjawan Selangor 2020. Antara dilaksanakan menerusi program ialah ‘1 Juta Wanita Selangor Sihat’ yang mengkhususkan pemeriksaan mamogram percuma kepada golongan terbabit berusia 35 tahun ke atas.


Pengarang :