Pengurusan kompleks beli-belah One Utama melaksanakan proses nyahkuman di Mac City yang ditutup selepas salah seorang pekerjanya dijangkiti Covid-19 pada 5 Oktober lalu. Foto Facebook 1 Utama Shopping Centre
AGENDANASIONAL

1 Utama, kelab golf di PJ ditutup untuk saringan Covid-19

SHAH ALAM, 10 OKT: Pusat beli-belah 1 Utama dan Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya ditutup bermula esok bagi saringan kontak rapat Covid-19 serta proses nyahkuman.

Pegawai Daerah Petaling Johary Anuar berkata penutupan itu susulan terdapat empat kes Covid-19 di 1 Utama melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung.

Sementara di kelab golf tersebut, lima kakitangannya disahkan positif.

“Jawatankuasa memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat ini untuk tampil membuat saringan. Lokasi meliputi bahagian kosmetik dan wangian di aras G, Parkson Elite antara 30 September hingga 7 Oktober dan Mac City di aras dua antara 25 hingga 30 September,” katanya dalam kenyataan.

Johary berkata Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan membuat saringan di 1 Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata keutamaan saringan adalah kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh yang dinyatakan.

“Bagi mereka yang bergejala sebelum tarikh saringan diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan rawatan,” kata beliau lagi.


Pengarang :