SELANGOR

13 individu direman di bawah akta cegah jenayah – polis

SUNGAI BULOH, 26 OKT: Seramai 13 individu termasuk dua wanita tempatan direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 kerana disyaki melakukan pelbagai jenis kegiatan jenayah di sekitar Sungai Buloh, di sini, sejak awal tahun ini.

Kesemua mereka yang direman terdiri daripada ahli kumpulan ‘Hassan Babu’, ‘Din Gemuk’ dan ‘Pocek’.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata kumpulan ‘Hassan Babu’ membabitkan tujuh suspek lelaki yang direman bermula 22 Oktober sehingga 11 November kerana melakukan kegiatan pecah rumah sejak Jun lepas.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan 2 Oktober lalu di empat lokasi berasingan sekitar Sungai Buloh dan polis turut merampas antaranya 18 utas jam tangan pelbagai jenama, 12 komputer riba jenis ‘Notebook’ dan 16 telefon bimbit.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini hari ini, Shafa’aton berkata kumpulan ‘Pocek’ pula membabitkan tiga suspek lelaki yang ditahan pada 1 Okt lalu di sebuah pangsapuri di Damansara Damai dan sebuah rumah di Kampung Gombak, di sini.

“Kumpulan ini (Pocek), kami merampas pelbagai jenis barang antaranya 13 buah telefon bimbit, 13 utas jam tangan dan sebuah motosikal Yamaha 125Z disyaki hasil kegiatan jenayah mereka,” katanya sambil menambah mereka direman mulai 20 Oktober sehingga 9 November depan.

Beliau berkata bagi kumpulan ‘Din Gemuk’ pula, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang ditahan pada 22 September lalu di empat lokasi berasingan di sekitar Sungai Buloh.

“Mereka ini bergiat aktif dengan jenayah ragut dan polis turut merampas antaranya enam utas rantai emas dan sebuah motosikal Yamaha Y15. Mereka direman mulai 2 Oktober sehingga esok dan akan disambung reman,” katanya.

Shafa’aton berkata kesemua suspek kumpulan ‘Hassan Babu’ dan ‘Pocek’ mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan tipu manakala suspek kumpulan ‘Din Gemuk’ tidak memiliki rekod jenayah.

Beliau berkata sebanyak 33 kes jenayah ragut, samun dan pecah rumah telah dikenal pasti membabitkan ketiga-tiga kumpulan berkenaan.

“Kesemua hasil rampasan yang melibatkan ketiga-tiga kumpulan itu dianggarkan bernilai lebih RM40,000 dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah, Seksyen 395 KK kerana samun berkumpulan dan Seksyen 392 KK kerana merompak,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :