Penduduk sekitar USJ 4/5 Subang Jaya mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian berikutan gangguan bekalan air selepas Sungai Semenyih mengalami pencemaran ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

145 kawasan terima bekalan air sepenuhnya petang esok

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menjangka kumpulan pertama meliputi 145 kawasan terjejas akan menerima bekalan air sepenuhnya jam 6 petang esok.

Ketua komunikasi korporatnya berkata agihan mulai tengah malam ini dibuat selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih lulus ujian kualiti dan pematuhan piawai Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bekalan air bersih dari Kolam Imbangan LRA Sungai Semenyih disalurkan ke sistem agihan bekalan air pada jam 7.30 malam.

“Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pengguna di kawasan kumpulan pertama akan mula mendapat bekalan air seawal jam 12 tengah malam ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum
digunakan selain meminta mereka menggunakannya secara berhemat.

Katanya, bantuan bekalan air alternatif di pili awam dan pusat khidmat setempat dikekalkan untuk kemudahan pengguna yang masih terjejas.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Kelmarin, dua LRA terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Semenyih yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 274 kawasan iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.


Pengarang :