Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

162 kawasan terima bekalan air, 1,130 dalam proses pemulihan

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 162 kawasan di Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor menerima bekalan air setakat ini, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata baki 1,130 kawasan dalam proses pemulihan selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang mula menyalurkan bekalan sejak jam 6 petang semalam.

“Sehingga jam 9 pagi tadi, sebanyak 162 atau 13 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan telah menerima bekalan air sepenuhnya.

“Pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan yang masih belum menerima bekalan dan mengikut jadual pelan pemulihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Air Selangor turut menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan kawasan perumahan terjejas manakala pengguna boleh mendapatkan bekalan melalui pili awam dan pusat khidmat setempat.

“Perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

Bekalan air mula disalurkan kepada 1.1 juta akaun pengguna terjejas pada jam 8 pagi ini selepas LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang memulakan operasi pada jam 6 petang semalam.

LRA terbabit terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor.


Pengarang :