Anggota Tentera Malaysia (ATM) mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Tropicana ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

18 kes positif baharu dikesan dalam Kluster Bah Tropicana

SHAH ALAM, 14 OKT: Sebanyak 18 kes disahkan Covid-19 hari ini menjadikan kumulatif kes Kluster Bah Tropicana bertambah kepada 25.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling berkata kes positif itu membabitkan 16 individu yang menetap di dalam Asrama Tropicana dan selebihnya di luar.

“Saringan kontak dan penghuni dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dan pengurusan Tropicana Golf and Country Resort (TGCR). Seramai 350 penghuni asrama menjalani saringan Covid-19.

“Kes positif akan dirawat, manakala kontak rapat perlu dikuarantin selama 14 hari dan menjalani saringan susulan,” kata Johary Anuar dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan jawatankuasa mempertimbangkan pembukaan semula TGCR setelah mendapat pandangan dan syor daripada PKD Petaling.

Johary yang juga Pegawai Daerah Petaling berkata cadangan penarikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) Asrama Tropicana dipertimbangkan setelah semua penghuni disaring dan keputusan diperoleh.

Kluster Bah Tropicana dikenal pasti bermula pada 5 Oktober lalu apabila tujuh kes yang pulang dari Semporna, Sabah disahkan positif Covid-19 dan kesemuanya menetap di Asrama Tropicana.

Daripada tujuh kes dilaporkan ini, dua kes merupakan pekerja di TGCR, satu kes di luar dan selebihnya tidak bekerja yang menyebabkan PKPD perlu dilaksanakan di Asrama Tropicana.

Pecahan kes mengikut pekerjaan adalah seperti berikut:

1. Pekerja TGCR : Lapan kes
2. Pekerja Asrama Tropicana : Tujuh kes
3. Selain Tropicana Group : Lima kes
4. Tidak bekerja : Lima kes

 


Pengarang :