AGENDABERITA UTAMANASIONAL

251 kawasan terjejas terima bekalan air bersih

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 251 kawasan terjejas di empat wilayah sudah menerima bekalan air bersih setakat jam 6 pagi tadi, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata peratusan keseluruhan kawasan pulih adalah 92 peratus dengan Sepang serta Putrajaya pulih sepenuhnya.

“Bagi kawasan Hulu Langat sebanyak 88 peratus kawasan sudah terima bekalan air manakala Kuala Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan 86 dan 85 peratus,” kata Elina Baseri melalui kenyataan pagi ini.

Beliau berkata pihaknya sedang menstabilkan sistem agihan bagi membolehkan 23 kawasan lain mendapat bekalan air secepat mungkin.

“Air Selangor hargai tindakan pengguna menggunakan air secara berhemat dan akan memastikan proses pemulihan berjalan lancar dari dijadualkan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata bekalan air di semua 274 kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula hari ini sehingga 6 petang Jumaat.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Semenyih.


Pengarang :