Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 3 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

409 pesakit Covid-19 pulih, jumlah tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Walaupun kes baharu Covid-19 masih mencatatkan angka membimbangkan iaitu 589 namun khabar gembiranya ialah 409 kes sembuh dicatatkan iaitu jumlah kes pulih tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika memperincikan perkara itu berkata, ini menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 12,014 kes atau 66.3 peratus dari keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai kes baharu, Dr Noor Hisham berkata daripada 589 kes baharu, 586 kes merupakan penularan tempatan manakala bakinya tiga kes import dibawa daripada individu yang pulang dari Indonesia dua kes dan satu kes dari Ukraine.

“Daripada penularan tempatan pula, 453 kes adalah warganegara Malaysia dan 133 kes adalah bukan warganegara dengan Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 304 kes atau 51.6 peratus,” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dengan perkembangan ini katanya, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini melepasi angka 18,000 iaitu 18,129 dengan kes aktif kebolehjangkitan 5,945 kes.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berkurangan kepada 103 kes dengan kes memerlukan bantuan pernafasan juga menurun kepada 31 kes.

Terdapat pertambahan tiga kes kematian yang semuanya melibatkan kes di Sabah menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kepada 170 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan pertambahan empat lagi kluster baharu.

Sementara itu dalam perincian kes baharu mengikut negeri hari ini, Sabah mencatat angka tertinggi iaitu 304 kes, diikuti Selangor (150 kes), Perak (52 kes), Kedah (31 kes), Pulau Pinang (16 kes), Negeri Sembilan (11 kes), Kuala Lumpur (sembilan kes), Labuan (enam kes), Sarawak, Melaka dan Kelantan masing-masing dua kes dan Putrajaya mencatat satu kes.

-BERNAMA


Pengarang :