AGENDABERITA UTAMANASIONAL

46 kawasan terima bekalan air, 228 lagi dalam proses pulih

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 46 kawasan sudah menerima bekalan air pagi ini manakala 228 lagi kawasan masih lagi dalam proses pemulihan selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih memulakan operasinya semalam.

Menurut Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook, pemulihan bekalan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya berada pada tahap 17 peratus setakat jam 8 pagi.

“Jika berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah pula, sebanyak 55 peratus pemilik akaun di Kuala Langat menerima bekalan air, 37 peratus di Wilayah Petaling manakala Wilayah Hulu Langat serta Sepang dan Putrajaya masih dalam proses pemulihan,” katanya.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata bekalan air di semua 274 kawasan terjeas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga 6 petang Jumaat, selepas LRA Sungai Semenyih memulakan operasi.

Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan yang akan menerima bekalan air sepenuhnya, menjelang jam 6 petang hari ini.

Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan pada pukul 6 petang Khamis, manakala kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang, Jumaat.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi henti tugas.

Pengguna terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan jadual pemulihan.


Pengarang :