Penduduk sekitar USJ 4/5 Subang Jaya yang berdepan gangguan bekalan air susulan pencemaran Sungai Semenyih mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

68 peratus kawasan dapat bekalan air setakat tengah hari

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 185 daripada 274 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 12.30 tengah hari, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata 89 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan membabitkan wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya.

“Peratusan pemulihan kini pada tahap 68 peratus. Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang masih terjejas,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Peratusan pemulihan tertinggi ialah di Sepang dan Putrajaya iaitu 80 peratus, Hulu Langat (74 peratus), Kuala Langat (55 peratus) dan Petaling (51 peratus).

Sejumlah 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Semenyih pada 4 Oktober lalu.

Sementara itu, Elina berkata ujian pensampelan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi mencatatkan bacaan sifar TON (Nombor Bau Nilai Ambang) tiga kali berturut-turut bermula jam 8 pagi ini.

Beliau berkata susulan itu, pam air mentah di LRA tersebut beroperasi semula pada jam 9.45 pagi untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air.

“LRA Bukit Tampoi dijangka dapat membekalkan air kepada pengguna pada jam 8 malam. Pengguna dinasihat  menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” kata beliau lagi.

Status bekalan air boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :