Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

688 individu ditahan ingkar PKP, 213 dikompaun tidak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Seramai 688 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meningkat berbanding 585 individu pada hari sebelumnya (Jumaat).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 678 individu dikompaun manakala 10 lagi direman.

“Kesalahan yang dilakukan ialah ingkar penjarakan fizikal (213), tidak memakai pelitup muka (211), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (136), rentas negeri dan daerah PKPB tanpa kebenaran (37), dan lain-lain (91),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak Covid-19, beliau berkata seramai 10 warga asing telah ditahan dan sebanyak lima kenderaan darat berjaya dirampas semalam.

Sebanyak 303 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam, katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 54,312 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,683 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 45,248 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :