ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar (tengah) menyerahkan baucar Jom Shopping Deepavali kepada salah seorang penerima di Dataran PJS 10, Petaling Jaya pada 11 Oktober 2020. Foto Facebook Halimey
ADNSELANGOR

800 penduduk DUN Seri Setia terima baucar Jom Shopping Deepavali

SHAH ALAM, 12 OKT: Seramai 800 masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia terpilih menerima baucar Jom Shopping RM100 sempena Deepavali yang akan berlangsung November ini.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata sumbangan membabitkan peruntukan RM80,000 bertujuan membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Sebanyak 600 baucar diberi kepada penerima di lapangan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala selebihnya secara terus (walk in) di pejabat DUN.

“Diharapkan penerima baucar dapat berbelanja dengan lebih berhemah memandangkan keadaan kewangan ketika ini tidak menentu berikutan Covid-19 yang semakin merebak,” katanya ketika dihubungi.

ADN Permatang Rozana Zainal Abidin (kanan) meraikan penerima baucar Jom Shopping Deepavali di Pasaraya Mustafa, Kuala Selangor pada 11 Oktober 2020. Foto Facebook Rozana

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin berkata seramai 400 penerima di DUN terbabit turut mendapat manfaat tersebut.

Menurutnya, pemberian baucar membuktikan kepedulian dan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat di Selangor.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat menambahkan lagi kemeriahan untuk meraikan Deepavali pada 14 November nanti,” tulisnya di Facebook.

Inisiatif Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :