AGENDABERITA UTAMANASIONAL

92 lori tangki digerakkan bantu penduduk, bekal air bersih

SHAH ALAM, 6 OKT: Sebanyak 92 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan bagi membekalkan air bersih, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 13 pili awam dan sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan bagi memudahkan pengguna terjejas mendapat bekalan air.

“Ujian persampelan air muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencatatkan bacaan 0 TON (ukuran kadar bau) tiga kali berturut-turut manakala LRA Bukit Tampoi pada jam 6 pagi tadi pada tahap 2 TON,” kata Elina Baseri dalam kenyataan pagi ini.

Beliau berkata operasi mengepam air mentah di LRA Sungai Semenyih bagi membersihkan paip air dan tangki rawatan sudah berjalan pagi ini.

Usaha merawat air tercemar dan menstabilkan sistem LRA mengambil masa 12 jam sebelum air menjalani ujian kualiti Kementerian Kesihatan dan diagihkan kepada pengguna.

Bantuan lori tangki air Air Selangor di Pusat Khidmat Setempat di USJ 4/5 dan di Jalan Gangsa, Teluk Panglima Garang yang mengagihkan bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas pada 5 Oktober 2020. Foto: Air Selangor

“Jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut kawasan akan dimaklumkan. Maklumat gangguan ini akan dikemaskini di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com selain pengguna digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor,” katanya.

Susulan penutupan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kelmarin, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :