Foto Twitter Adibah Noor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Adibah Noor galak orang awam guna SELangkah

SHAH ALAM, 10 OKT: Selebriti Adibah Noor mempromosi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor bagi menjejak kontak Covid-19.

Melalui Twitter, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu meminta orang ramai menggunakan sistem tersebut bagi melandaikan lengkungan kes pandemik.

“Adakah anda tahu? Sekiranya anda mengimbas #SELangkah ketika memasuki kafe kegemaran anda, anda menyumbang data kepada kerajaan Negeri untuk mengawal penyebaran #Covid19,” tulisnya malam tadi.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan Covid-19 di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Aplikasi tersebut kini ditambah baik dengan dua ciri khas bagi membolehkan orang ramai mengesan sama ada premis dikunjungi terdedah risiko jangkitan Covid-19.

Ciri pertama ialah ‘peta dan semakan premis’ dengan pengguna boleh mengetahui tarikh sanitasi premis bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Sementara ciri ‘semakan kendiri’ pula membolehkan pengunjung membuat semakan silang untuk mengetahui sama ada status premis dikunjungi berisiko dalam tempoh kuarantin.

 


Pengarang :