PERSONALITIRENCANA

ADN Balakong popularkan pelancongan industri

Ahli Dewan Negeri Balakong gigih membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan industri pada tahun depan.

Sekurang-kurangnya lima kilang termasuk ais krim jenama Polar dikenal pasti dalam program tersebut. Beberapa premis lagi sedang dinilai.

Wong Siew Ki meletakkan syarat kilang mesti memiliki keunikan selain persekitaran kerja yang bersih dan ada ruang pameran.

“Kita cari jalan bagi menghidupkan semula kawasan industri yang lama. Namun, usaha ini baharu dibuat dan memerlukan masa untuk direalisasikan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yakin projek itu menjadikan Balakong diingati sebagai pusat lawatan sambil belajar ke kilang bersejarah, sesetengahnya berusia lebih 30 tahun.

Ia sekali gus mengangkat imej negeri yang sinonim dalam sektor perindustrian. Apatah lagi, satu pertiga keluasan Balakong meliputi kawasan perindustrian.

Namun, Siew Ki tidak senang dengan kewujudan kilang haram dan memberi perhatian untuk membanterasnya seiring rungutan penduduk setempat berikutan ia menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“Kilang haram menimbulkan kesukaran untuk mengurus dan menambah baik kawasan perindustrian sedia ada. Pencemaran udara dan bunyi juga sering berlaku,” katanya.

Pasukan Anak Muda

Selain itu, Siew Ki, sebelum ini ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, giat mengatasi masalah berkaitan banjir, longkang tersumbat dan pembuangan sampah haram.

Justeru, beliau menubuhkan pasukan Semangat Balakong terdiri daripada anak-anak muda pelbagai latar belakang dan kaum pada akhir Mac lalu untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Pelbagai bantuan disalur kepada penduduk terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sumbangan merangkumi 100 program pembersihan (sanitasi), pemberian lebih 70,000 pelitup muka, 1,000 sut perlindungan peribadi (PPE) dan lebih 45,000 rumah menerima kit cegah Covid-19.

Siew Ki turut memuji Dato’ Menteri Besar yang disifatkannya sebagai pemimpin berfikiran terbuka dan berani. Beliau mendapati Dato’ Seri Amirudin Shari sangat mengambil berat masalah rakyat dan “tahu apa yang patut dilakukan”.

Siew Ki menjadi wakil rakyat mulai September 2018, menggantikan Eddie Ng yang meninggal dunia selepas terbabit nahas jalan raya dua bulan sebelum itu. Siew Ki menang dengan majoriti 18,533 undi.

Sumbangan lain:

– Menaik taraf longkang di lokasi perniagaan Taman Kajang Indah

– Menyediakan khidmat nasihat guaman percuma

– Bantuan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana yang terbakar

 


Pengarang :