Lau Weng San (dua, kanan) meninjau kerja penurapan jalan di salah sebuah jalan di Taman Melati, Banting pada 10 Julai 2020. Foto Facebook Lau Weng San
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Banting giat uruskan kanak-kanak tiada dokumen, baiki prasarana

Menyelesaikan masalah kanak-kanak tempatan yang tiada dokumen pengenalan diri giat dijalankan Ahli Dewan Negeri Banting.

Sejak Mei 2018 hingga awal tahun ini, Lau Weng San menerima 60 aduan berkaitan masalah itu yang bukan sahaja dihadapi golongan bukan bumiputera tetapi turut dialami orang Melayu.

Beliau memanjang isu tersebut kepada kerajaan persekutuan yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri mempermudahkan proses itu sekali gus membuka ruang untuk mereka melangkah ke alam persekolahan.

Lau Weng San

“(Sebelum ini) Mereka tidak boleh bersekolah dan perlu membayar yuran sekiranya mahu belajar. Semasa zaman PAKATAN, pembaharuan dilakukan dan mereka dibenarkan bersekolah seperti biasa,” kata wakil rakyat berusia 42 tahun.

Weng San prihatin dengan isu itu kerana kesannya boleh berlarutan hingga dewasa yang akhirnya bakal menjejaskan masa depan mereka. Tanpa dokumen kewarganegaraan, hanya berstatus pemastautin tetap, proses melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya berdepan kesukaran.

“Ini juga memberi kesan psikologi yang mendalam terhadap mereka,” katanya.

Sebab itu, beliau berazam membela kanak-kanak itu walaupun prosesnya rumit dan mengambil masa panjang.

Kemudahan

Beliau juga membangkitkan isu kemudahan sedia ada termasuk lampu jalan tidak diselenggara dengan baik yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan umpamanya di Jalan Klang-Banting.

Beliau menggunakan pelbagai platform untuk mengutarakan isu termasuk memanjangkannya dalam mesyuarat membabitkan Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Lau Weng San (tengah) meninjau aktiviti pembersihan longkang tersumbat melibatkan KDEB Waste Management iaitu High Pressure Water Jetter di sekitar kawasan komersial Jalan Teluk Bunut, Banting pada 14 September 2020. Foto Facebook Lau Weng San

“Penyelesaian akan disusun jabatan-jabatan kerajaan yang terbabit dan ini akan mempercepatkan penyelesaian sesuatu masalah.

“Wakil jabatan-jabatan kerajaan persekutuan juga hadir dan mereka perlu bantu menyelesaikan masalah dalam bidang kuasa mereka,” katanya.

Weng San juga mahu merancakkan pembangunan di Banting rancak seperti beberapa bandar besar lain seperti Puchong dan Subang Jaya supaya tempiasnya turut dirasai penduduk tempatan.

Perkara itu bukan mustahil kerana Banting dan Kuala Langat kian mendapat tempat kalangan pelabur asing dalam sektor perkilangan. Sektor hartanah juga berkembang pesat.

“Pembangunan pesat disokong dengan pelaksanaan projek seperti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat Banting-Taiping dan Laluan Rel Pantai Timur di Kuala Langat.

“Masa depan cukup cerah. Saya yakin Banting bakal mengalami rentak pembangunan sama seperti bandar lain,” jelasnya.


Pengarang :