Kelihatan penduduk di sekitar Pekan Meru, Klang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

ADN: Guru diminta pantau kesihatan pelajar, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 16 OKT: Semua guru di kawasan Pelabuhan Klang diminta memantau kesihatan pelajar masing-masing meskipun sekolah ditutup dua minggu.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan terdapat kes positif direkodkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya sebelum ini.

“Kita tidak mahu ada jangkitan baharu kerana penghidap virus ini juga tidak bergejala. Ibu bapa diminta segera membawa anak membuat saringan sekiranya mempunyai simptom Covid-19,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kelmarin, orang awam dilihat patuh terhadap peraturan ditetapkan.

“Jalan raya tidak sesak seperti selalu. Hanya mereka yang mempunyai hal penting sahaja keluar,” katanya.

Bermula kelmarin hingga 27 Oktober ini semua sekolah seluruh Selangor ditutup selepas kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPB akibat peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :