ADNSELANGOR

ADN: Kereta percuma untuk warga emas, OKU di Taman Templer

SHAH ALAM, 13 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer menyediakan perkhidmatan kereta peduli percuma untuk kegunaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke sembilan destinasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu setiap Rabu.

Ahli Dewan Negerinya berkata inisiatif bermula dengan sebuah kenderaan sejak awal tahun ini melibatkan lokasi ke Maybank dan Bank Simpanan Nasional Bandar Baru Selayang serta Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Tanah, Syarikat Bekalan Air Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Hospital Selayang, klinik kesihatan dan pejabat pos.

“Mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini perlu memohon ke pejabat DUN sekurang-kurangnya dua hari sebelumnya bagi memudahkan proses penyusunan jadual perjalanan.

“Pegawai pengendali akan menguruskan pengambilan warga emas atau OKU terbabit dari hadapan rumah dan dihantar ke lokasi sehingga urusan selesai,” kata Mohd Sany Hamzan kepada SelangorKini.

Beliau berkata berikutan sambutan menggalakan pihaknya akan menambah baik dengan cadangan memperluasnya untuk ibu tunggal dan golongan memerlukan selain menambah bilangan kenderaan serta tempoh perkhidmatan pada masa hadapan.

Mereka yang berminat mendapatkan khidmat kereta peduli percuma boleh menghubungi Rosli Kamaruddin di talian 018-3213092.


Pengarang :