Chua Wei Kiat melawat kawasan terjejas akibat banjir di Taman Tun Teja pada 2018. Foto Facebook Chua Wei Kiat
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Rawang tumpu atasi isu jalan raya sesak, banteras kilang haram

Masalah jalinan jalan raya yang tidak setara dengan kepadatan penduduk berikutan kepesatan pembangunan di Rawang antara fokus Ahli Dewan Negeri Rawang.

Chua Wei Kiat mendapati masalah sejak puluhan tahun itu perlu diselesaikan sebelum agenda lebih besar dijayakan.

Contohnya, jalan persekutuan dan negeri yang menghubungkan pekan lama Rawang-Bandar Country Homes-Kundang sering sesak pada waktu puncak; hanya ada satu atau dua lorong sahaja sedangkan bilangan penduduk kian bertambah.

Justeru, Wei Kiat membuat perancangan dengan kerjasama pelbagai pihak. Malah, beliau turut mendapat bantuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turun padang melihat sendiri masalah itu.

Chua Wei Kiat

“Contohnya, jalan B27 (jalan negeri di jajaran menghubungkan pekan lama Rawang hingga Kundang), kita atasinya sejak berperingkat dan lihat punca masalah seperti sistem tender bagi jalan negeri terbabit yang diperbetulkan oleh Dato’ Menteri Besar.

“Sekarang ini dalam proses melantik kontraktor penyelamat. Diharapkan kerja naik taraf dilakukan secepat mungkin bagi memberi keselesaan pengguna,” katanya yang menjadi wakil rakyat sejak Mei 2018.

Bagi jalan persekutuan di laluan itu pula, beliau membangkitkan masalah berkenaan kepada ke agensi berkaitan. Hasilnya, RM450 juta diperuntuk kerajaan persekutuan, ketika itu ditadbir Pakatan Harapan, bagi menambah baik prasarana tersebut. Mengikut wakil rakyat berusia 31 tahun itu, kerja tanah dijadual bermula tahun depan.

Banteras kilang haram

Wei Kiat juga membangkitkan isu pencemaran di Rawang berikutan kewujudan banyak kilang haram, seperti yang berlaku membabitkan Sungai Gong berikutan pembuangan bahan berbahaya pada September lalu.

“Banyak kilang haram dibina sebelum pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang. Ia menjadi punca utama pencemaran air, udara dan bau. Dalam dua tahun ini, saya giat sertai operasi bersama pihak berkuasa.

Chua Wei Kiat (tengah) meninjau

“Banyak cabaran besar antaranya aspek undang-undang yang memerlukan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri selain kekurangan pegawai untuk memantaunya setiap masa,” katanya.

Wei Kiat juga melihat potensi Pekan Batu Arang sebagai destinasi pelancongan. Bekas lombong pada 1913 dijangka mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk berikutan ia menjadi tumpuan penggemar sukan lasak baik berbasikal dan motosikal pada hujung minggu atau cuti umum.

Bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, beliau giat mempromosi kawasan itu termasuk memasang papan tanda yang menerangkan latar belakang dan sejarah kawasan itu.

“Peningkatan pengunjung memberi kesan ekonomi apabila penduduk dapat berniaga makanan dan menjadikan rumah mereka sebagai inap desa. Harapan kita supaya kawasan itu jadi terkenal pada masa depan,” katanya.

Penerima insentif DUN Rawang

– Skim Mesra Usia Emas: 6,646 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 6,346 orang
– Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 603 orang


Pengarang :