Dr G Gunarajah (dua, kiri) meninjau tapak sampah haram di sekitar kawasan DUN Sentosa. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Sentosa gigih atasi isu tapak pembuangan sampah haram

Masalah pembuangan sampah haram antara kesulitan utama yang sering dihadapi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah sejak bergelar wakil rakyat lebih dua tahun lalu.

Cakna mengenai isu berkenaan, beliau berusaha gigih mengatasinya dari berlarutan. Hasil-
nya masalah itu kian berkurangan.

“Saya perkenalkan kempen Bersih dan Hijau sejak 28 April tahun lalu untuk memastikan Sentosa sentiasa bersih dan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Saya juga mengadakan program gotong-royong bersama beberapa sekolah dan berjaya mengutip 1,106kg sampah,” katanya.

Beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Klang dan KDEB Waste Management seterusnya memastikan Sentosa bebas daripada ‘tapak’ pembuangan sampah haram.

Banjir kilat

Gunarajah mengesan dua lagi masalah iaitu banjir kilat dan ketiadaan pasar harian yang diperlukan peniaga bagi meningkatkan taraf ekonomi hampir 52,000 penduduk.

Dr G Gunarajah

“Dengan adanya pasar harian kekal akan memudahkan masyarakat mendapatkan barang keperluan makanan dengan selesa,” katanya.

Kekerapan banjir pula ekoran longkang tersumbat dan tanah mendap. Isu tersebut diatasi dengan bantuan agensi kerajaan yang melaksanakan projek tebatan.

Selain itu, pelbagai inisiatif ditawar kepada penduduk ke arah menjadi negeri pintar. Beliau juga berharap Kerajaan Negeri meneruskan projek pembangunan seimbang dari sudut sosioekonomi mahupun prasarana.

Gunarajah turut memuji kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang selalu mengutamakan rakyat daripada mencampuri urusan politik.

“Kerajaan pimpinan Amirudin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas pentadbiran beliau, malah pelbagai sumbangan diperkenalkan dan masih diteruskan bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Projek yang dijayakan:

  • Membantu 250 anak orang kelainan upaya (OKU) berusia empat hingga 13 tahun dari segi pendidikan
  • Menawarkan peluang pekerjaan kepada hampir 100 penduduk dengan kerjasama syarikat Citylink Express
  • Membentuk gabungan persatuan penduduk dan kawasan
  • Rukun Tetangga bagi aktiviti kemasyarakatan di Sentosa
  • Mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti, ruang untuk penduduk mengadakan aktiviti secara percuma
  • Mengadakan seminar pendidikan percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia

Pengarang :