Tinjauan di Sungai Semenyih, Dengkil yang tercemar hingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Subang Jaya cadang hukuman penjara ke atas pencemar sungai

SHAH ALAM, 14 OKT: Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng mendesak kerajaan mewajibkan hukuman penjara ke atas pencemar sungai bagi mengelakkan isu sama berulang.

Beliau berkata langkah itu dapat memastikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mempunyai elemen pencegahan, selain bukti kerajaan serius menjadikan sumber air sebagai keselamatan negara.

“Saya menyambut baik niat kerajaan untuk melaksanakan pindaan akta tersebut yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Michelle Ng Mei Sze pada sidang media di Dewan Annex, Shah Alam pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, kerajaan perlu lebih tegas dan berfikir secara lebih menyeluruh dalam menggubal pindaan yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan.

Michelle yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor turut mencadangkan kerajaan supaya menyatakan denda minimum bagi kesalahan pencemaran sungai.

“Tanpa berbuat demikian, mahkamah secara teorinya boleh menjatuhkan hukuman RM1,000 dan keputusan sedemikian masih sah di sisi undang-undang,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan bercadang menaikkan denda maksimum bagi kes pencemaran air daripada RM500,000 kepada RM10 juta.

Cadangan itu akan dilakukan menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentangkan di Parlimen, November depan.


Pengarang :