Selangorkini
Syamsul Firdaus Mohamed Supri (kiri) menyerahkan bantuan bank makanan kepada penduduk DUN Taman Medan pada 28 Mei 2020. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Taman Medan
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Taman Medan mahu bangunkan rumah mampu milik

Mewakili Dewan Undangan Negeri paling kecil di negeri ini tetapi penduduknya padat antara cabaran yang dipikul wakil rakyat Taman Medan.

Berkeluasan 54 kilometer persegi tetapi penduduknya berjumlah 103,000 orang, Syamsul Firdaus Mohamed Supri sibuk menangani pelbagai isu berikutan faktor persekitaran tidak seimbang.

Lebih-lebih lagi, kedudukannya berhampiran Kuala Lumpur dan Shah Alam menyebabkan penduduk luar Selangor mendiami kawasan itu. Ia menyebabkan kemudahan terutama perumahan mampu milik tidak mencukupi. Malah, ada kes tiga keluarga terpaksa berkongsi rumah sama.

Masalah itu diatasi Syamsul Firdaus sejak menjadi wakil rakyat pada 2018 bagi memastikan penduduk Taman Medan menikmati kehidupan lebih baik.

Rumah mampu milik

Justeru, beliau sering berhubung dengan agensi kerajaan dan swasta. Hasilnya, dua projek rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui program Rumah Selangorku akan dibina di Taman Petaling Utama.

“Mengikut perancangan lebih 200 unit rumah akan dijual pada harga berpatutan. Kita akan pastikan hanya yang benar-benar layak diberi peluang membeli rumah.

“Saya akan buat tindakan susulan supaya lebih banyak rumah dibina bagi menampung permintaan tinggi penduduk,” kata wakil rakyat berusia 47 tahun kepada SelangorKini.

Beliau juga fokus terhadap aspek kebajikan berikutan peningkatan golongan berpendapan rendah atau B40 yang memerlukan bantuan akibat penularan Covid-19. Apatah lagi, DUN Taman Medan antara kawasan terjejas teruk.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di sekitar pasar Jalan Othman terletak di kawasan diwakili Syamsul Firdaus. Arahan berkuat kuasa 10 hingga 21 Mei lalu disebabkan terdapat 26 kes virus.

Beliau bersama pasukan pusat khidmatnya menghulur bantuan seperti makanan kering, malah turut sama memasak untuk 1,800 penduduk. Turut diagih pelitup muka bagi memutuskan rantaian wabak.

“Kita melalui saat sukar, justeru sebahagian besar peruntukan ADN saya disalur untuk perbelanjaan membantu masyarakat terjejas,” katanya.

Kemas kini data

Syamsul Firdaus juga mengemas kini senarai individu yang memerlukan bantuan dan menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau turut mengemukakan permohonan kepada jawatankuasa kemiskinan dan Lembaga Zakat Selangor supaya mereka menyertai program untuk memperbaiki taraf hidup.

Syamsul Firdaus Mohamed Supri (dua, kanan) bertemu peniaga bagi meninjau suasana di Pasar Taman Medan Cahaya, PJS 2, Petaling Jaya pada 7 Jun 2020. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Taman Medan

Selain itu, beberapa perancangan diatur untuk meningkatkan kemudahan di DUN Taman Medan. Antaranya projek membangunkan sistem pembentungan, perparitan dan pembinaan lebuh raya menghubungkan Petaling Jaya ke Damansara.

“Selain projek itu, kita juga mahu mengusahakan tanah terbiar milik Kerajaan Negeri supaya memberi manfaat kepada penduduk tempatan,” katanya.

Syamsul Firdaus turut mengumpul data lengkap berkaitan DUN tersebut bagi memastikan perancangan pembangunan fizikal masa depan dibuat dengan baik manakala penyaluran bantuan meningkatkan taraf hidup sampai kepada golongan sasar.

Beliau menggunakan maklumat terperinci untuk merancang projek yang dipanjangkan kepada kerajaan atau pihak berkuasa demi manfaat penduduk.

(Maklumat tambahan) Penerima insentif DUN Taman Medan

– Tabung Warisan Anak Selangor: 7,800 orang
– Skim Mesra Usia Emas: 5,300 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 1,700 orang
– Program Jom Shopping Perayaan: 1,550 orang
– Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 300 orang


Pengarang :