Borhan Aman Shah menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas merawai di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat pada 9 Oktober 2020. Foto Facebook PKM DUN Tanjung Sepat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Tanjung Sepat sertai misi cari mangsa bot karam

SHAH ALAM, 10 OKT: Wakil rakyat Tanjung Sepat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam ketika merawai ikan di Pantai Batu Laut, kelmarin.

Borhan Aman Shah berkata operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Balai Polis Tanjung Sepat serta nelayan setempat.

“Saya menerima taklimat bermula jam 7.30 pagi dan menyertai operasi SAR sehingga jam 12.30 tengah hari semalam. Pada operasi berkenaan, pasukan penyelam bomba melakukan pencarian sehingga 20 meter ke dasar laut, namun masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Oleh itu, kita akan minta bantuan daripada Tentera Diraja Laut Malaysia kerana mereka mempunyai kepakaran. Berdasarkan maklumat, kawasan dasar laut tempat dipercayai hilang itu agak dalam dan airnya lebih keruh,” katanya ketika dihubungi.

Borhan berkata kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas berusia 66 tahun merawai ikan di Pantai Batu Laut bersama anaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak mangsa terselamat selepas sempat berpaut pada pelampung sebelum jeritannya meminta tolong didengari pemancing berhampiran.

“Operasi akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini (semalam), sekiranya masih gagal ditemui, kita akan sambung pencarian esok (hari ini),” katanya memaklumkan anak mangsa kini dirawat di Hospital Banting.


Pengarang :