Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDANASIONAL

Agong ajak rakyat bersatu hati perangi penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, untuk bersatu hati dalam memerangi penularan Covid-19, demi keselamatan bersama dan kesejahteraan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian susulan perkembangan membimbangkan pandemik berkenaan, berikutan kenaikan berterusan tiga digit kes positif harian dan kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lepas.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa, semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19, dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri segera,” menurut Ahmad Fadil dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga menzahirkan kegusaran, namun menasihati rakyat supaya kekal bertenang dan berdisiplin menjaga kesihatan diri, dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard, terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai esok.

Lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Ahmad Fadil berkata Istana Negara turut melaksanakan sekatan pergerakan separa, yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :