Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto Facebook Istana Negara
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong: Beri sokongan padu Belanjawan 2021, pulih ekonomi

SHAH ALAM, 28 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara kesan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Beliau berkata ia bagi meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani Covid-19 daripada terus merebak.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi merugikan negara dan seluruh rakyat menjadi mangsa,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen pada 6 November.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya.

 

 


Pengarang :