Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melambai tangan kepada pengamal media ketika keluar daripada Istana Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 25 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong titah tiada keperluan isytihar darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada merebak,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Pada masa yang sama Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berpendapat bahawa tiada perlunya ahli parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata baginda menyeru rakyat mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.


Pengarang :