Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Ahli akademik, bekas profesor pertikai cadangan darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sekumpulan ahli akademik dan bekas profesor mempertikai cadangan pengisytiharan darurat yang dikhuatiri mewujudkan monopoli kuasa dan menjejaskan urus tadbir kerajaan.

Menamakan diri mereka Kumpulan Akademik Prihatin, mereka berkata pelaksanaan berkenaan memberi kuasa kepada badan eksekutif tanpa proses semak dan imbang.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 91 individu, mereka berkata darurat juga merosakkan kedudukan negara pada peringkat antarabangsa, reputasi kewangan, iklim pelaburan dan kredibiliti pemerintahan negara.

“Sekiranya kita tidak mengambil berat perkara penggantungan dan pengabaian institusi demokrasi ini, akibatnya nanti menjerumuskan negara kita ke jalan kemunduran iaitu pemerintahan autoriter dan diktator,” kata mereka lagi.

Kumpulan itu juga menjelaskan negara ketika ini tidak berhadapan sebarang ancaman membabitkan keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.

Sebaliknya, mereka khuatir cadangan tersebut didorong situasi politik tidak menentu berikutan kerajaan sedia ada bimbang Belanjawan 2021 ditolak pada sidang Parlimen November depan.

Mereka mengakui negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan awam berikutan pandemik Covid-19 terutama di Sabah tetapi yakin masalah itu boleh diatasi melalui undang-undang sedia ada.

“Meskipun demikian, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan memiliki sejumlah pilihan undang-undang dan juga pilihan langkah perubatan yang mencukupi demi meratakan lengkung jangkitan Covid-19, seperti dilakukan pada gelombang kedua,” katanya.


Pengarang :