Kerja menambah baik dan menguatkan struktur ban giat dijalankan di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang bagi menghadapi fenomena air pasang besar pada 17 hingga 19 Oktober 2020. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Air pasang besar: JPS tambah baik struktur ban Kampung Telok Gong

SHAH ALAM, 2 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah baik dan memperkukuh struktur ban di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang sebagai persediaan berdepan air pasang besar kedua, dijangka pertengahan bulan ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata impak fenomena bulan lalu mengakibatkan air laut menembusi ban sekali gus menjejaskan kediaman berhampiran.

“Kita segera berbincang bersama JPS Klang dan penduduk kampung bagi mengenal pasti punca (rekahan ban). Siasatan mendapati terdapat beberapa kesan lubang dampak pukulan ombak yang menyebabkan air laut menembusinya,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berkaitan kerana peka terhadap masalah penduduk dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian jangka pendek serta panjang.

Sebelum ini, Azmizam meminta Majlis Perbandaran Klang dan JPS mengkaji semula beberapa saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan sekiranya fenomena air pasang berlaku antara bulan ini hingga November.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka fenomena itu melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Susulan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.


Pengarang :