Kelihatan bendera merah diletakkan dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pemantauan supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti di pesisir pantai berikutan air pasang ketika tinjauan di Pantai Baru Morib, Banting pada 19 September 2020. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Air pasang besar: Penduduk diminta waspada, agensi berkaitan terus pantau

SHAH ALAM, 14 OKT: Penduduk berdekatan pantai Morib sudahpun dimaklumkan dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hujung minggu ini, kata Ahli Dewan Negerinya.

Hasnul Baharuddin berkata, pada masa sama, Unit Bencana Negeri Selangor giat melakukan pemantauan serta makluman kepada penduduk.

“Walaupun semua sudah sedia maklum, penduduk diingatkan supaya berjaga-jaga sekiranya berlaku hujan lebat pada 17 hingga 19 Oktober ini.

“Saya bimbang banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang besar, oleh itu penduduk diminta bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menggesa supaya orang awam tidak berada berhampiran Pantai Kelanang sepanjang tempoh fenomena berkenaan.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

 


Pengarang :