Muhammad Nagarajah, 45, meninjau kawasan belakang rumahnya yang mula dinaiki air sekitar jam 6 pagi berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Klang pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Air pasang naik lagi, banjir kilat sekitar Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 18 OKT: Air pasang pada paras 5.8 meter direkodkan hari ini, lebih tinggi berbanding semalam, kata ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Mohd Naim Mohd Nasir berkata susulan kejadian antara jam 6.30 hingga 6.50 pagi tadi beberapa kawasan perumahan sekitar Pandamaran dan Telok Gong dinaiki air.

“Semalam air pasang setinggi 5.7 meter. Bagaimanapun penduduk tetap tidak dipindahkan memandangkan air kembali surut dalam masa singkat.

“Pantauan bomba akan diteruskan pagi esok dan kita harap cuaca baik supaya air melimpah tidak banyak hingga boleh menyebabkan banjir dalam tempoh lama,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Bermula semalam hingga esok, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :