Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman mengagihkan bantuan air botol minuman kepada penduduk Pangsapuri Rimba Jaya Shah Alam pada 20 Oktober 2020. Foto AIR SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor: 841 kawasan terima bekalan, baki 451 dalam proses

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 841 atau 65 peratus dari 1,292 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6 petang tadi, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata 451 kawasan lagi meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat masih dalam proses pemulihan.

“Air Selangor memaksimakan usaha untuk memulihkan bekalan air kepada pengguna terjejas. Kami menyasarkan proses sepenuhnya berakhir untuk kesemua kawasan adalah dijangka pada 8 pagi, 22 Oktober ini,” kata Suhaimi Kamaralzaman dalam kenyataan hari ini.

Petang tadi, beliau bersama EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail mengedarkan air botol minuman kepada penduduk di Pangsapuri Rimba Jaya Seksyen 16 di sini.

Pada masa sama, Suhaimi menjelaskan Air Selangor menyokong usaha pihak berkuasa untuk membanteras jenayah alam sekitar susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang telah dihenti tugas enam kali akibat masalah pencemaran sungai.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (kanan) mengagihkan bantuan air botol minuman kepada salah satu keluarga yang terjejas di Pangsapuri Rimba Jaya Shah Alam pada 20 Oktober 2020. Foto AIR SELANGOR

“Kami amat memahami keperitan dihadapi semua pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini kerana kami juga pengguna namun aset Air Selangor terhad dan sukar memenuhi keperluan kesemua 1.2 juta akaun pengguna. Kami berharap mereka mengambil air di pili awam disediakan.

“Banyak rungutan diterima mengenai lokasinya yang agak jauh tetapi hanya kawasan itu mempunyai bekalan air ketika gangguan berlaku,” katanya menambah 129 lori tangki juga digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor, awal pagi semalam.


Pengarang :