Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (kanan) mengagihkan bantuan air botol minuman kepada salah satu keluarga yang terjejas di Pangsapuri Rimba Jaya Shah Alam pada 20 Oktober 2020. Foto AIR SELANGOR
EXCOSELANGOR

Air Selangor bantu agih 3,000 air botol di DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 21 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagihkan kira-kira 3,000 air botol minuman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bagi meringankan beban penduduk.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata pihaknya mengambil maklum dan prihatin gangguan bekalan air yang berlaku hingga menjejaskan kehidupan harian penduduk khususnya di kawasan DUN.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Air Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang membantu menghantar lori tangki air bersih di sekitar kawasan DUN Batu Tiga.

“Justeru, penduduk dinasihatkan supaya berhemah ketika menggunakan air,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Sejumlah 1,077 atau 83 peratus dari 1,292 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6 pagi.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor, pada Ahad lalu.

Susulan itu, 1.2 juta akaun pengguna meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :