ADN Muda Teratai, Tasslim Mansoor Ali ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Air Selangor dicadang guna alat berteknologi tinggi ganti paip usang

SHAH ALAM, 3 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dicadang menggantikan paip baharu Loji Rawatan Air (LRA) dengan alat berteknologi tinggi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Teratai Tasslim Mansoor Ali berkata alat tersebut perlu merekodkan tahap integriti paip dan maklumat seperti tekanan air untuk menjaga operasi paip.

“Pihak Air Selangor boleh membuat diagnostik pengaliran paip berkenaan dan mengumpul data untuk meningkatkan keberkesanan pembekalan air kepada pengguna.

“Saya berharap cadangan ini dikaji secara terperinci kerana terdapat 28,613 kilometer paip air yang membekalkan air bersih kepada penduduk Selangor,” katanya ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menambah usaha penggantian paip usang perlu dipergiat supaya insiden paip pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan tidak berulang.

“Ada paip air yang sudah beroperasi lebih 30 tahun dan wujud keperluan untuk menggantikannya.

“Malah, saya difahamkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM526 juta untuk kerja penggantian paip dari 2016 hingga 2019,” katanya.

Tasslim turut meminta Kerajaan Selangor mempercepat proses pembinaan LRA Sungai Rasau bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tiga LRA Sungai Selangor dan mengelak insiden pencemaran bau.


Pengarang :