AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor: Pemulihan bekalan air capai 94 peratus

SHAH ALAM, 21 OKT: Hanya 75 kawasan terbabit gangguan air tidak berjadual sejak Ahad lalu masih belum mendapat bekalan sepenuhnya, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata setakat 6 petang tadi, sebanyak 1,217 kawasan iaitu 94 peratus sudah pulih dan mendapat bekalan air bersih.

“Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya manakala Petaling serta Kuala Sepangor melebihi 99 peratus.

“Klang/Shah Alam pada tahap 86 peratus, Gombak (83) dan Kuala Langat (75). Proses pemulihan enam peratus kawasan terjejas masih dijalankan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Menurutnya, pengguna disaran membiarkan air mengalir hingga jernih sebelum digunakan selain menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar.

“Bantuan bekalan alternatif di pili awam dan pusat khidmat setempat masih disediakan untuk memudahkan pengguna selain menggerakkan lori tangki.

“Air Selangor menghargai bantuan pihak lain antaranya Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Terengganu, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Ranhil SAJ Sdn Bhd,” katanya.

Ahad lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran mengakibatkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :