Foto Facebook Akademi Imigresen Malaysia (AIM)
AGENDANASIONAL

Akademi Imigresen Malaysia jadi pusat rawatan Covid-19 risiko rendah

SEREMBAN, 28 OKT: Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson yang memiliki kemudahan 200 katil dijadikan sebagai pusat rawatan Covid-19 risiko rendah mulai hari ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini bagi membolehkan rawatan dapat diberikan secara berkesan kepada semua pesakit Covid-19, dan ketika ini Negeri Sembilan merekodkan 424 pesakit yang sedang dirawat di tiga hospital iaitu Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Hospital Rembau dan Hospital Tampin.

“Yang berisiko rendah (tanpa simptom) kita akan hantar ke AIM manakala yang ada masalah sedikit, kita akan letak di hospital.

“Seperti semua sedia maklum, ini kali pertama kita menghadapi sebanyak 424 kes pesakit di dalam wad,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 155 kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes berjumlah 1,492 kes.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul 2020/1442H yang akan dirai umat Islam esok, Aminuddin menasihati mereka yang masih ingin menganjurkan acara agar mematuhi tatacara operasi piawai yang ditetapkan.

“Saya serah kepada kebijaksanaan (masyarakat) nanti kalau saya kata tak boleh banyak hukum jatuh kepada saya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :