Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Anwar gesa sediakan alat perlindungan Covid-19 untuk polis, warden

SHAH ALAM, 17 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya menyediakan kelengkapan perlindungan kesihatan yang mencukupi kepada polis dan warden penjara.

Ketua pembangkang berkata kegagalan Kementerian Dalam Negeri menyediakan kelengkapan sedemikian  kepada pegawai bertugas meletakkan mereka dalam risiko tinggi.

Beliau berkata kelengkapan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan kaca mata berbingkai besar (gogal) dapat melindungi petugas barusan hadapan daripada ancaman Covid-19.

“Tambahan pula, mereka hidup dengan risiko wabak yang mampu terjangkit kepada orang di sekeliling mereka dan ahli keluarga. Saya bersimpati dengan nasib dan keadaan mereka kini.

“Saya percaya sebuah kerajaan bertanggungjawab mesti tingkatkan usaha memastikan perlindungan penuh dan munasabah diberikan kepada pasukan polis.

“Mereka tidak hanya mengawasi pintu masuk malah bertanggungjawab terhadap keselamatan negara,” kata presiden Parti Keadilan Rakyat dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut memetik laporan media yang menyebut seramai 2,688 pegawai dikuarantin akibat terdedah dengan wabak tersebut.

“Di bawah hujan dan panas, pasukan polis terus terdedah dengan ancaman virus meski dilengkapi dengan pelitup muka N-95 berjam-jam lamanya,” kata ahli parlimen Port Dickson.

Beliau menganggap masalah berkenaan membimbangkan berdasarkan maklum balas beberapa pegawai yang memaklumkannya secara tertutup.

Kenyataan itu dibuat Anwar selepas beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen yang didakwa menyokongnya.


Pengarang :