Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting selepas sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Kerajaan guna Covid-19 isytihar darurat, elak sidang parlimen

SHAH ALAM, 23 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan persekutuan menggunakan alasan penularan Covid-19 untuk menyekat sidang parlimen berikutan ada ura-ura darurat mahu diisytihar.

Ketua pembangkang kesal kerana perintah sedemikian mahu dilaksanakan kerana kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sebagai “punca pada ancaman keselamatan” dan tindakan itu “memungkinkan kedidaktoran”.

Menegaskan darurat hanya boleh diisytihar jika unsur keselamatan negara terancam, beliau menggesa perdana menteri mempertimbang semula keputusan yang “pendek akal dan penting diri”.

“Dengan langkah ini, maka kerajaan Perikatan Nasional yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.

“Kita masih belum mengetahui apa strategi dalam mengemudi krisis ini tetapi apa yang terpamer pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat dalam kenyataan hari ini berkata rakyat memerlukan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab serta memiliki dasar jelas dalam mendepani wabak.

“Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Pengarang :